Sunday, October 13, 2013

rindu 2 : tamu Allah .

Bismillahirrahmanirrahim :)

" Labbaik Allahumma Labbaik . Labbaika La Sharika Laka Labbaik . Innal Hamda . Wan Ne'mata . Laka Wal Mulk . La Sharika Labbaik ! "

hamba Mu datang menyahut panggilan Mu , ya Allah hamba Mu datang menyahut panggilan Mu . hamba Mu datang menyahut panggilan Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi Mu . hamba datang menyahut panggilan Mu . sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan Mu , tidak ada sekutu bagi Mu .


indah bait kata arab ini kalau difahami . dialog antara hamba yang berserah pada Tuhan segalanya demi mengharapkan keredhaan . ya kami datang pada Mu Allah membawa diri yang hina . mohon pengharapan dan rahmat daripada Mu .

perjalanan diteruskan meninggalkan kota Madinah . semua jemaah siap berpakaian ihram kerana sampai di miqat nanti akan berniat untuk melakukan umrah . sepanjang perjalanan yang agak panjang , mutawif mengetuai bacaan talbiah dan zikrullah . tanpa henti . bibir yang selama ini berat sungguh untuk berzikir terasa ringan . sampaikan bila mutawif berhenti mengetuai , beliau berpesan agar hati jangan dibiar berhenti sesaat pun daripada berzikir walaupun mata sudah terlelap . ketika itu rasanya aku tidur , tapi hati terasa hidup . terus terusan berzikir dengan mata yang terkatup . suatu ketenangan menyelinap ke jiwa yang belum pernah aku rasa .

turun dari bas , aku tergamam sekali lagi . Allahuakbar ! Masjidil Haram . selama ini aku cuma mampu melihatnya di skrin tapi sekarang di depan mata sendiri . hati berdebar tidak sabar mahu menatap Baitullah di dalam . malam itu , aku akan mengerjakan umrah yang pertama . sejak siang tadi aku terbayang bayang bagaimana ya gambaran di dalam nanti . saat melangkah masuk ke pintu Masjidil Haram , aku mula rasa bersesak . tangan erat dipegang ayah risau kalau kalau tenggelam dek manusia yang ramai . Baitullah . ya Allah aku rasa sebak . tak tertahan rasa . bercampur baur perasaan apabila menatap Kaabah di depan mata dan ribuan manusia mengelilinginya (mungkin tidak sampai juta kerana bukan musim haji) . ini rupanya kiblat aku selama ini .

aku mula turun ke medan tawaf mencari sudut permulaan . sedikit demi sedikit aku mulakan . masa itu aku rasakan semua manusia sama taraf mereka , berpakaian yang sama dengan niat yang sama . sayu sekali . aku lihat Hajarul Aswad dari jauh . manusia berebut mengucup . aku tidak pasti andai aku mampu melepasi mereka . namun niat harus diluruskan , aku sedang bertawaf maka harus aku sempurnakan dahulu tawaf ini .  sesekali aku ditolak rombongan yang bergerak dalam kumpulan yang ramai . kalau tidak sabar memang tidak boleh ke sini . selesai . kami lantas bergerak ke tempat saie . aku mula kepenatan . mungkin penat perjalanan pun masih belum hilang . namun aku terus kuatkan diri kerana setiap perkara mencari redha Nya butuh pengorbanan . Alhamdulillah selesai lalu lantas aku bertahalul . malam itu aku lena dibayangi suasana Masjidil Haram yang semakin ramai orang apabila semakin larut malam . indah .


hari hari dilalui penuh ketenangan . fikiran rasa bebas daripada segala kesibukan dunia . sekolah , kawan , kerja . ah semua itu sudah tidak ada dalam fikiran .



hari terakhir . petang itu aku ingin tawaf wada' , tawaf selamat tinggal selepas asar . cuaca sangat panas . kalau aku lihat dari saf aku berfikir dua kali sungguhkah mahu turun ke ruang tawaf ? tapi aku tak punya pilihan . yakin . lantai yang dipijak tidak rasa panas . manusia sangat padat petang itu tetapi aku rasa bagai ada satu laluan yang sentiasa kosong di hadapan aku untuk aku berjalan mudah tanpa perlu berpaut pada ayah . sebentar sahaja aku selesai tujuh pusingan . aku mencari ruang solat berdekatan Kaabah . di bawah matahari itu juga yang tadinya aku rungsing memikirkan teriknya . sungguh aku tidak rasa panas . tapi aku rasa sedih , sayu dan lemah . aku tak mahu pulang . aku mahu terus di sini menatap kotak hitam itu setiap kali aku solat . aku rasa bagai ada teduhan ketika aku berdoa . selamat tinggal Masjidil Haram . aku mohon Rabb agar kembalikan aku ke sini kerana tiada tempat teristimewa pernah aku sampai melainkan di tempat suci ini .

dalam perjalanan ke lapangan terbang , ayah bertanya ,
 " adik perasan tak masa tawaf wada' tadi ibarat ada mendung yang melindungi panas matahari "

tersentak . aku akui kebenarannya dalam hati yang sedang menangis . Allahu apakah ada yang ingin kau tunjukkan ? apakah benar kau mudahkan laluan tawaf tadi dan meneduhkan dari panas terik sampai aku mampu sujud di atas lantai putih tanpa alas itu ?

aku harap ini bukan yang terakhir kali . terima kasih Allah atas undangan teristimewa ini . aku merayu , jemput aku lagi Rabb . aku sentiasa menunggu undangan Mu lagi kerana menjadi tamu Mu buat aku rasa istimewa dan cukup bahagia . rahmat Mu tidak ternilai . terima kasih Allah .

memori dua tahun lepas patutnya sudah berkarat tapi memori yang ini mana mungkin aku kikis dari ingatan .


28 mei 2011- 8 jun 2011
 Madinah . Makkah

No comments:

Post a Comment

. i write my thoughts .

My photo
Mauritius
i found God .